
Saban hari, pernahkah kita menghitung betapa banyaknya dosa yang dilakukan selama mana diri ini diciptakan?
Adakah kita sedar betapa setiap saat dan detik, kematian kian menghampiri, mendekati kita tanpa disedari? Sedarlah wahai manusia yang bergalar khalifah, tidaklah penciptaan kita di di dunia ini sia- sia.
Allah S.W.T berfirman: " Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali bagi mengabdikan diri"
Ketika mana Allah S.W.T memberitahu para malaikat bahawa DIA akan menciptakan manusia sebagai khalifah, para malaikat bertanya apakah Allah ingin menciptakan manusia yang hanya akan menumpahkan darah dan saling berbunuhan di kemudian hari. Namun DIA Yang Maha Kuasa Maha Mengetahui apa yang tersingkap di sebalik penciptaan. Allah S.W.T berfirman : " Sesungguhnya AKU mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"
Lihatlah betapa besarnya peranan yang harus kita mainkan. Sedangkan sekecil- kecil semut punyai tujuan penciptaan apatah lagi kita sebagai makhluk yang berperanan bagi mentadbir dan memakmurkan bumi ini. Kita harus mempunyai kesedaran bahawa kita hanyalah hamba Allah yang berasal dari tanah. Kaya atau miskin bukanlah kayu ukur yang menentukan darjat seseorang, akan tetapi Allah S.W.T telah menegaskan di dalam kitab- Nya bahawa semulia- mulia manusia di sisi Allah adalah mereka yang bertakwa.
Bayangkan di saat kematian bakal menjelang, sedangkan amal kebajikan yang dilakukan hanya sekelumit cuma, mampukah amalan sebesar demikian membawa kita menikmati kenikmatan syurga? Mampukah diri ini menanggung azab siksa api neraka yang di dalamnya penuh dengan kesengsaraan dan penderitaan?
Justeru, marilah kita bersama- sama meningkatkan amal ibadah sementara jiwa ini masih bisa menghirup udara segar kurniaan Ilahi yang tiada tandingan harganya berbanding segala apa jua yang terdapat di dunia ini. Nilailah apakah sumbangan yang telah kita hulurkan kepada Islam, bukan apa yang telah Islam hulurkan kepada kita. Sesungguhnya kita yang berkehendak akan Islam dan bukannya Islam berkehendak kepada kita.
Posted by
bait aqsa



0 comments:
Post a Comment